Pembangunan dan Pengujian Sistem Pembelajaran Kelas Maya
|
Blog ini disasarkan pada golongan pendidik, pembangun, perekabentuk pengajaran dan penggubal dasar yang berminat dalam bidang rekabentuk dan pengujian sistem pembelajaran kelas maya (SPKM). Pautan di bawah mengandungi rajah menjelaskan model rekabentuk pengajaran yang digubal khusus untuk merekabentuk dan menguji sistem pembelajaran kelas maya. Model ini telah diuji dan dilaksanakan dengan jayanya sebagai sebahagian dari projek dalam penyelidikan di peringkat PHD di Universiti Malaya pada tahun 2009. Setakat mana yang ada hasil kajian menjelaskan bahawa melalui model ini, kandungan mata pelajaran mampu disampaikan dengan berkesan. Berikut adalah abstrak tesis.
Sinopsis Kajian ini bertujuan untuk membangun dan menguji prototaip Sistem Pembelajaran Kelas Maya (SPKM) dari konteks senario pendidikan di Malaysia. Kajian juga bertujuan untuk menggubal spesifikasi pembelajaran melalui aktiviti tanda aras dan kajian kebolehgunaan sebagai panduan untuk menjelas, menilai, dan membina sistem penyampaian SPKM yang memfokus pada reka bentuk antaramukanya. Dapatan dari kajian ini menunjukkan bahawa sistem penyampaian melalui rekabentuk antaramuka yang dibangunkan dalam pembangunan fasa 1 dapat menghasilkan corak interaksi yang berkesan dalam menghubungkan guru sebagai penilai kepada kandungan mata pelajaran dalam SPKM. Keberkesanan ini berlandaskan kepada kemampuan sistem penyampaian dalam mencapai objektif pembelajaran yang dilihat melalui skor keputusan ujian yang sekata tanpa mengambilkira bidang penilai. SPKM juga didapati memenuhi kehendak kemahiran asas berdasarkan maklumbalas pengguna. Sistem penyampaian yang dibina berdasarkan teknik analisis tugasan SCORM mampu berfungsi dengan berkesan dari aspek ciri-ciri rekabentuk skrin yang mesra pengguna. Ini menjelaskan bahawa penilai memahami kehendak paparan. Struktur kandungan yang digubal berdasarkan susunan SCORM (SCORM sequencing) telah memberikan kesan yang positif terhadap pencapaian pengguna. Secara keseluruhannya dapatan di atas menjelaskan bahawa kesemua proses dalam pembangunan dalam fasa 1 telah memberikan sumbangan yang positif terhadap aktiviti dalam pembangunan fasa 2. Sistem penyampaian juga didapati telah mematuhi kriteria SCORM (RAID). Dapatan dari ketiga-tiga komponen: 1) Atribut kebolehgunaan terhadap rekabentuk skrin; 2) Kajian kebolehgunaan terhadap SPP dan 3) Skor ujian dalam SPP menunjukkan bahawa kepatuhan terhadap kriteria SCORM telah menunjukkan hasil yang positif. Dapatan kajian ini diharap dapat menyumbang kepada bidang reka bentuk pengajaran dengan menjelas dan menyenaraikan disiplin lain yang sesuai sebagai aspek nilai tambah bagi menghasilkan sistem penyampaian pembelajaran kelas maya yang berkesan. Hasil kajian ini juga dapat memberi petunjuk kepada pembangun yang ingin membina portal pendidikan sama ada untuk tujuan pembangunan atau mengemaskinikan sistem penyampaian bagi portal berkenaan. Di samping itu dapatan dapat menyumbang kepada bidang teknologi pendidikan dari aspek penghasilan sesebuah persekitaran pembelajaran secara maya, tambahan pula dengan pertumbuhan teknologi Web 2.0 dan teknologi immersive.
1.Muat turun kerangka model rekabentuk pengajaran (format PDF)
2.Contoh hasil kajian
Saranan dalam kerangka ini akan digunakan oleh penyelidik bagi melaksanakan kajian lanjutannya dalam bidang pembelajaran secara maya. Sesiapa sahaja yang berminat dan ingin menggunakan kerangka ini dalam membantu menghasilkan sistem penyampaian yang berkesan, interaksi boleh dilaksanakan dalam blog ini. Berbincang dengan penuh hikmah. Etika yang baik dalam 'blogging' amat diharapkan.Sesiapa yang berminat untuk berkongsi pengalaman dalam kajian ini boleh menghubungi saya: zahari hamidon di emel zaharimy@hotmail.com